Friday, May 27, 2011

Umat Islam perlu penanda aras pendapatan tinggi

13 July 2010

KUALA LUMPUR 13 Julai - Umat Islam memerlukan penanda aras seperti dalam bidang pendidikan, teknologi, pembangunan insan dan penyelidikan bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, kata bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata, bidang lain yang memerlukan penanda aras itu ialah peningkatan statistik graduan kelas pertama, kadar literasi penduduk serta perkembangan produktiviti pekerja melalui kreativiti dan inovasi dalam disiplin ilmu yang bersepadu.

"Jika kejayaan ini dapat dicapai, maka umat Islam dan pemimpin negara Islam akan berupaya mencipta model ekonomi yang mandiri, menandingi model lapuk tinggalan Amerika Syarikat dan Barat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Model Baru Ekonomi:Tinjauan Dari Perspektif Islam, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.

Abdullah yang juga Pengerusi IKIM berkata, penduduk dalam ekonomi berpendapatan tinggi mempunyai taraf yang lebih baik berbanding penduduk dalam ekonomi berpendapatan sederhana tinggi.

Selain itu, Abdullah berkata, pendekatan penyusunan ekonomi melalui amalan konvensional banyak menimbulkan masalah kepada kestabilan dan kesejahteraan ekonomi.

Sehubungan itu, satu model baharu ekonomi diperlukan, khusus bagi memenuhi keperluan negara Islam, katanya. - Bernama

No comments: