31 March 2011
PUTRAJAYA 31 Mac - Tun Abdullah Ahmad Badawi akan memberi keterangan sebagai saksi utama perbicaraan kes bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan kos pembangunan hampir RM1.9 bilion.
Bekas Perdana Menteri itu tersenarai sebagai salah seorang saksi penting pendakwaan selepas namanya dinyatakan dalam tiga tuduhan menipu yang dihadapi oleh bekas menteri Kabinetnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, seramai 15 saksi akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan tersebut.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menetapkan 10 Mei ini untuk sebutan menentukan tarikh perbicaraan dan perkembangan sama ada kes itu akan didengar di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi.
Sebelum itu, peguam Arthur Wang yang mewakili Kong Choy memaklumkan pihaknya sedang menimbang untuk mengemukakan permohonan agar perbicaraan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, Dzulkifli memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan sudah menyerahkan 19 set dokumen kepada pihak pembelaan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Arthur pula berkata, dokumen-dokumen itu yang diterima pagi semalam antaranya merupakan dokumen sulit kerajaan dan ia perlu diklasifikasikan semula untuk kegunaan pada perbicaraan kelak.
Kong Choy, 55, meminta dibicarakan atas tuduhan menyembunyikan fakta mengenai pembiayaan kos pembangunan sehingga Abdullah bersetuju supaya kelulusan diberikan kepada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB) selaku pemaju siap guna (turnkey developer).
Projek pembangunan itu ialah Transshipment Hub di Zon Bebas Pulau Indah, kerja-kerja pembangunan tambahan bagi projek PKFZ dan lima fasa pembangunan tambahan bagi projek yang sama.
Fakta-fakta yang disembunyikan adalah pembiayaan tersebut akan dibiayai melalui terbitan bon oleh KDSB melalui tiga syarikat, Transshipment Megahub Bhd., Valid Ventures Bhd. dan Free Zone Capital Bhd. dengan sokongan Kerajaan Malaysia menerusi Menteri Pengangkutan.
Abdullah selaku Perdana Menteri (ketika itu) tidak akan memberikan persetujuan jika fakta-fakta tersebut dimaklumkan kepada beliau. Ketiga-tiga tuduhan didakwa dilakukan di antara 24 Februari 2004 dan 29 Mac 2006 di Tingkat 4, Blok Utama, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini.
Bekas menteri Kabinet itu didakwa bagi ketiga-tiga tuduhan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0401&pub=utusan_malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_03.htm&arc=hive
Friday, May 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment