22 December 2010
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yakin dapat meraih tiga juta pendengar menerusi radio IKIM.fm apabila siarannya diperluaskan ke kawasan pedalaman mulai tahun depan.
Pengerusinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, ia juga sebagai tanggungjawab IKIM untuk memenuhi permintaan penduduk di kawasan berkenaan yang sudah lama ingin mendengar siaran IKIM.fm
"Saya percaya dengan sambutan pendengar ini akan menjadikan IKIM.fm terus berkembang dalam usaha memberi informasi ilmiah berkaitan Islam,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Kerja IKIM 2011, Buku Terbitan IKIM 2010 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang IKIM 2009 di Dewan Besar IKIM di sini hari ini.
Abdullah berkata, biarpun IKIM.fm masih serba kekurangan khususnya dari segi teknikal dan kewangan yang terhad tetapi ia telah berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang.
Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dalam sidang akhbar selepas itu menjelaskan, sejak IKIM.fm diperluas menerusi radio 'streaming' di www.ikimfm.gov.my, ia membolehkan siaran itu diikuti oleh 2,000 pendengar pada satu masa.
"Siaran ini juga boleh diikuti oleh rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di luar negara,'' katanya.
Malah katanya, jumlah pendengar IKIM.fm juga kini mencecah hampir sejuta orang dan lebih membanggakan ia bukan sahaja berjaya menarik golongan muda, malah penduduk negara luar seperti Singapura dan Batam.
Tambahnya, radio IKIM.fm juga mendapat perhatian daripada syarikat yang mahu mengiklankan produk masing-masing.
Katanya, ini menunjukkan siaran IKIM.fm semakin diyakini oleh pengeluar produk sebagai radio yang mempunyai pendengar yang tersendiri.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1223&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_10.htm&arc=hive
Friday, May 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment