Friday, May 27, 2011

Abdullah kesal isu pasir gagal ditangani pihak berkuasa

27 July 2010

KUALA LUMPUR 27 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi kesal apabila aktiviti mengorek dan mencuri pasir yang semakin berleluasa kini masih gagal ditangani pihak berkuasa.

Beliau yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, kegagalan pihak berwajib menangani perkara itu sebenarnya telah memberi kesan buruk kepada alam sekitar.

"Sepatutnya kegiatan seperti itu sudah dihentikan. Pihak penguat kuasa seharusnya mengambil tindakan tegas kalau nampak lori-lori yang bawa pasir dan siasat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Persidangan Kesedaran Alam Sekitar dan Tindakan Demi Kebaikan Dunia anjuran IKIM di sini hari ini.

Abdullah berkata, setiap individu juga perlu bertanggungjawab menjaga alam sekitar dan tidak hanya mengharapkan kepada kerajaan untuk melakukannya.

"Anak-anak kita juga perlu diajar tentang betapa pentingnya menjaga alam sekitar. Mereka perlu sedar mengenai perlunya manusia hidup di dalam alam sekitar yang baik," katanya.

Dalam pada itu, seorang pembentang kertas kerja pada persidangan itu, Pengarah (Jabatan Teknikal) Jabatan Meterologi, Dr. Wan Azli Wan Hassan berkata, Malaysia akan terus mengalami peningkatan suhu terutamanya di sekitar bandar raya besar seperti di ibu negara.

Katanya, walaupun trend peningkatan suhu yang berlaku di negara ini tidak tinggi iaitu sekitar 0.5 darjah Celsius setiap 10 tahun dan tidak dirasai oleh manusia, ia akan tetap memberi kesan kepada habitat dan alam sekitar.

"Trend itu berlaku kerana aktiviti pembangunan di kawasan bandar yang terlalu pesat sehingga menyebabkan keadaan suhu terperangkap dan juga perubahan cuaca secara semula jadi seperti El Nino dan La Nina," katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Perubahan Cuaca: Pengalaman Malaysia.

Beliau berkata peningkatan suhu yang paling ketara kini dapat dilihat berlaku di kawasan Lembah Klang memandangkan banyak aktiviti pembangunan yang dibuat.

Menurutnya, sebagai negara maritim, Malaysia terdedah kepada ancaman perubahan cuaca yang disebabkan oleh keadaan alam semulajadi dan juga pemanasan global.

Sehubungan itu katanya, semua pihak terutama masyarakat perlu mula bertindak menyelamatkan alam sekitar daripada menerima kesan-kesan buruk dalam jangka masa panjang.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0728&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_11.htm&arc=hive

No comments: