8 December 2010
KUALA LUMPUR 8 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini supaya tidak lupa mengamalkan prinsip Rukun Negara.
Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, ini kerana prinsip Rukun Negara diwujudkan supaya ia menjadi amalan rakyat di negara ini untuk menikmati kehidupan yang sentiasa aman.
"Malah, Rukun Negara dihasilkan daripada gabungan pemikiran mereka yang mahu melihat negara ini selamat untuk didiami oleh rakyat yang berbeza anutan agama,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas ucaptama dan merasmikan Seminar Peranan Agama Dalam Menangani Masalah Sosial di Dewan Besar IKIM di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.
Sehubungan itu, Abdullah mahukan rakyat di negara ini sentiasa memberikan perhatian terhadap prinsip Rukun Negara dalam menjalani kehidupan seharian.
"Tidak perlu mencari yang lain tetapi cukup dengan mengkaji prinsip Rukun Negara supaya masing-masing akan lebih faham dan dapat menghayatinya,'' katanya.
Selain itu, katanya, agama tetap memainkan peranan yang utama dalam membentuk generasi agar bebas daripada gejala sosial.
"Tidak mengira apa juga agama, semuanya menyuruh penganutnya supaya melakukan kebaikan,'' katanya.
Abdullah berkata, setiap ajaran mana-mana agama juga tidak menyuruh penganutnya mengganggu penganut agama lain. Malah, masing-masing menyuruh saling bertimbang rasa dan tidak melakukan sebarang kekacauan yang boleh merosakkan masyarakat.
Seminar dua hari yang berakhir esok itu dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertujuan mengetengahkan beberapa masalah sosial utama melibatkan semua penganut agama di negara ini.
Pembentangan kertas kerja ini terbahagi kepada empat sesi iaitu sesi pertama mengenai Masalah Sosial dan Peranan Agama di Malaysia dan sesi kedua, Peranan Agama Menangani Ketagihan Dadah dan Arak.
Sesi ketiga pula mengenai Pandangan dan Peranan Agama Memerangi Kegiatan Perjudian dan Pelacuran dan sesi keempat, Pandangan dan Peranan Agama Membendung Jenayah Rasuah.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1209&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_08.htm&arc=hive
Friday, May 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment