BATU PAHAT 8 Julai - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, kemajuan negara akan terus bertitik tolak daripada kekuatan tenaga modal insan dalam enggerakkan pembangunan secara kreatif dan inovatif.
Beliau berkata, kepimpinan negara sentiasa percaya dengan keupayaan tenaga anak tempatan bagi merealisasikan segala perancangan kemajuan sejak negara merdeka lebih 50 tahun lalu.
Namun, kata beliau, generasi muda kini perlu meningkatkan lagi penguasaan ilmu untuk pembangunan negara.
"Penguasaan ilmu amat penting bagi kita, tanpanya, tenaga modal insan tidak mencukupi bagi memajukan negara kita.
"Kemajuan bergantung kepada kekuatan modal insan dan berapa ramai tenaga kerja yang ada dan kualiti yang dimiliki, kalau kurang kita tidak boleh menjadi negara maju," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Mahasiswa Baru di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.
Menurut Abdullah, beliau berbangga melihat rakyat Malaysia saling berganding bahu bagi memajukan negara sama ada daripada pihak kerajaan atau pun sektor swasta.
"Dalam negara kita yang merdeka ini, kita tidak mahu bergantung kepada tenaga orang putih, Australia, New Zealand, India serta Ceylon (Sri Lanka).
"Negara kita yang merdeka mesti dibangunkan oleh rakyat Malaysia sendiri dan begitu juga universiti kita, barulah kita boleh merancang pembangunan untuk menjadikan negara lebih maju," katanya.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0709&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_23.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment