MERSING 11 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, setiap anggota masyarakat perlu menitikberatkan soal penjagaan alam dan hutan bagi memastikan khazanah alam terus terpelihara.
Beliau berkata, khazanah tersebut tidak ternilai harganya dan perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
"Seperti Hutan Simpan Endau-Rompin ini, ia adalah hutan yang paling berharga dan mempunyai banyak khazanah bernilai.
"Kita harus menjaga khazanah ini terutama pokok-pokok yang sedang membesar untuk generasi akan datang," katanya semasa program Ekspedisi Landskap Malaysia bersempena Hari Landskap Sedunia di Taman Negara, Endau-Rompin, dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir isterinya, Tun Jeanne Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman. Pada kunjungan itu, beliau dan isteri turut melawat Kampung Orang Asli Peta.
Program tersebut diadakan bagi menimbulkan kesedaran orang ramai untuk menjaga khazanah hutan supaya dapat ditatapi generasi akan datang.
Sementara itu, Abdul Ghani memberitahu, Johor merupakan salah sebuah negeri yang istimewa kerana mempunyai pelbagai khazanah berharga untuk generasi akan datang.
Beliau memberitahu, antara khazanah yang tidak ternilai ialah hutan simpan dan masyarakat Orang Asli di sini.
"Masyarakat Orang Asli di sini masih mengamalkan adat dan budaya serta mempunyai keistimewaannya tersendiri.
"Dengan khazanah sedia ada ini, kita patut bersyukur dengan segala yang kita miliki," katanya.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0812&pub=utusan_malaysia&sec=Johor&pg=wj_05.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment