18 November 2010
KUALA LUMPUR 18 Nov. - Tun Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) membuka cawangan di setiap negeri di Malaysia seterusnya menjadi peneraju industri perhutanan negara.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, FRIM kini sudah mempunyai pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di beberapa negeri tetapi perlu mengembangkannya menjadi sebuah cawangan yang mampu mengeluarkan produk hutan yang bernilai tinggi.
"FRIM merupakan institusi terbesar dan tertua di dunia yang mempunyai tanah sendiri tetapi perlu mengembangkan sayapnya dengan membuka cawangan di negeri lain memandangkan kawasan miliknya di Selangor adalah terhad.
"Dengan nama yang dikenali dunia, FRIM mampu membangunkan industri perhutanan negara melalui pelbagai produk hutan yang mempunyai potensi perubatan atau komersial seperti mana industri herba kini yang semakin pesat berkembang di seluruh dunia," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pengiktirafan kampus utama FRIM di Kepong sebagai Tapak Warisan Semulajadi di sini hari ini.
Hadir sama, isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah, Pengerusi Lembaga Penyelidikan dan Pembangunan Perhutanan Malaysia (MFRDB), Nancy Shukri dan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod.
Abdullah turut mencadangkan FRIM mewujudkan 'bank benih' sendiri untuk menyimpan benih tumbuhan dalam jangka panjang terutamanya bagi menyelamatkan spesies pokok yang terancam.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1119&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_02.htm&arc=hive
Friday, May 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment