Friday, May 27, 2011

Anwar tidak layak perlekeh batik Malaysia - Pak Lah

16 February 2011


SHAH ALAM 16 Feb. - Tun Abdullah Ahmad Badawi menyelar sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperlekehkan tahap mutu batik keluaran negara ini sedangkan produk tempatan itu mendapat banyak pengiktirafan antarabangsa.

Bekas Perdana Menteri turut mempersoalkan kelayakan Anwar membuat penilaian terhadap batik Malaysia yang merupakan sebahagian daripada warisan seni budaya bangsa dan negara.

"Siapa dia hendak membuat penilaian dan memperlekehkan batik Malaysia yang diiktiraf bukan setakat di negara sendiri malah sudah terkenal seluruh dunia.

"Batik Malaysia terbukti mampu bersaing di peringkat antarabangsa, hanya dia seorang sahaja berpendapat sedemikian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan sempena lawatan ke Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) di sini hari ini. Hadir sama Rektor Mediu, Prof. Dr. Muhammad Khalifa Al Tamimi.

Abdullah mengulas kenyataan Anwar yang memperlekehkan batik Malaysia dalam syarahan umum di Indonesia yang dipetik oleh Awang Selamat dalam kolum Bisik-Bisik Mingguan pada Ahad lalu.

Dalam syarahan bertajuk 'Kebebasan dan Musuh-Musuhnya' diadakan sempena Festival Salihara 2010 Jakarta pada Oktober tahun lalu, Anwar berkata: "Mahu pakai batik Indonesia, dikatakan saya ini antinasional. Mahu pakai batik Malaysia, orang Indonesia bilang jelek sebab ciri kesenian itu cukup rendah dan saya setuju. Tapi saya tidak mahu sebut di Malaysia. Jadi, saya akhirnya memilih batik Afrika."

Di negara ini, pemakaian batik semakin popular ketika pentadbiran Abdullah selain kegigihan isterinya, Allahyarham Tun Endon Mahmood yang memperjuangkan industri batik sehingga wujud Piala Seri Endon yang mempertandingkan rekaan batik bagi diketengahkan di peringkat dunia.

Inisiatif Endon mendorong tertubuhnya Majlis Batik Dunia dan mendapat sokongan 15 buah negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan kakitangan Kerajaan Persekutuan diwajibkan memakai baju batik pada setiap hari Khamis melalui pekeliling pada 15 Januari 2008 dan amalan tersebut berterusan hingga kini.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0217&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm&arc=hive

No comments: