Friday, May 27, 2011

Banyak negara berminat konsep koridor - Pak Lah

14 December 2010

KUALA LUMPUR 14 Dis. - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, banyak peserta luar negara menunjukkan minat untuk mengetahui matlamat dan hala tuju konsep koridor ekonomi yang diwujudkan sewaktu era pentadbirannya.

Abdullah berkata, malah mereka turut meminta beliau menasihatkan cara terbaik untuk menubuhkan koridor ekonomi di negara mereka.

"Saya hanya berkata, saya tidak boleh menasihatkan negara lain tetapi sekadar berkongsi pengalaman," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ceramah "Kelahiran Koridor" di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini hari ini.

Beliau turut berdialog dengan 40 peserta Program Pertukaran Pengetahuan, Melihat Ke Timur: Satu Pendekatan Alternatif Kepada Paradigma Tadbir Urus Barat.

Program itu disertai 23 peserta luar negara termasuk pegawai tinggi kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Mesir, Maldives, Brunei dan selebihnya kakitangan awam pelbagai agensi.

Berhubung kemajuan yang dicapai di koridor ekonomi berkenaan, Abdullah memberitahu, nilai pelaburan sehingga kini mencecah jumlah RM66.08 bilion.

Dalam pada itu katanya, sehingga 30 September tahun ini, pelaburan yang komited di koridor-koridor ekonomi tersebut telah mencecah RM252.47 bilion mengatasi sasaran pelaburan berjumlah RM145 bilion.

Beliau juga berkata, perkembangan pelaburan paling ketara ialah di Iskandar Malaysia dan Sarawak sementara di utara menghadapi masalah teknikal berhubung pelaburan.

Sementara itu, beliau berkata, konsep koridor tidak diketepikan malah transformasi ekonomi yang dilakukan mampu membantu pertumbuhan di kawasan koridor ekonomi.

Pembangunan di koridor Sarawak dan Johor ujarnya, berkembang dengan cepat berikutan ia menjadi kawasan tarikan pelabur walaupun tanpa bantuan kewangan daripada Kerajaan Pusat.

Kata beliau, antara matlamat ditubuhkan koridor berkenaan ialah untuk memastikan terdapat pertaburan yang berkualiti tinggi di tempat-tempat berkenaan dan tidak hanya ditumpukan ke kawasan seperti Lembah Klang.

Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1215&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm&arc=hive

No comments: