16 November 2010
KEPALA BATAS 16 Nov. – Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak terkejut dengan tindakan Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila parti itu berdepan krisis kepimpinan yang serius.
Menurut beliau, Zaid yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Pusat PKR pastinya tidak akan bertindak demikian sekiranya mempunyai keyakinan untuk memperbaiki kerosakan yang sedang berlaku dalam parti tersebut.
“Saya tidak terkejut, dulu pun dalam UMNO saya beri peluang jadi menteri tapi dia buat keputusan letak jawatan, saya ingat dia nak terus jadi ahli tiba-tiba masuk PKR. Tapi nampaknya PKR pun tidak memuaskan hatinya.
“Kalau dia jadi pemimpin dan suka PKR, dia kekal untuk membaiki parti kalau dia sanggup, tapi ternyata sekali dia tak suka pada PKR,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penghargaan Sekolah Menengah Sains Kepala Batas (SMSKB) di sini hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin; Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Omar Osman dan Pengetua SMSKB, Jamaah Taman.
Abdullah mengulas perkembangan terbaru dalam kemelut PKR yang menyaksikan Zaid bertindak keluar daripada parti tersebut, seminggu selepas mengumumkan menarik diri bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR selain melepaskan semua jawatannya.
Sehari selepas pengumuman itu, Zaid mendesak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden, Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan kerana mendakwa kedua-dua mereka adalah punca segala masalah dalam parti itu.
Zaid dalam blognya sebelum ini mendakwa kepimpinan PKR tidak berusaha mengatasi manipulasi dan penyelewengan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung walaupun isu berkenaan telah beberapa kali ditimbulkan.
Abdullah percaya perkembangan tersebut memberi tamparan hebat kepada kepimpinan PKR terutama Anwar yang sebelum ini lantang melaung-laungkan prinsip ketelusan dalam PKR sambil menuduh kononnya UMNO parti yang tidak demokratik.
“Semua orang tahu apa dia (Anwar) kata dulu, tapi (lihatlah) apa jadi sekarang,” katanya.
Ditanya mengenai peluang Zaid sekiranya ingin kembali kepada UMNO, Abdullah berkata: “Itu terserahlah kepada UMNO, tapi Setiausaha Agung (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) dah kata takkan terima, Wallahualam.”
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1117&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm&arc=hive
Friday, May 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment