28 April 2011
KUALA LUMPUR 28 April - Malaysia disaran mencontohi strategi perdagangan inklusif yang digunakan China iaitu menjalankan perniagaan di seluruh dunia.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, strategi itu amat berkesan sehingga republik tersebut berjaya menjadi antara kuasa ekonomi yang disegani dunia.
"China menjalinkan hubungan perdagangan secara inklusif tidak kira dengan negara miskin, kaya, kuasa besar atau bukan kuasa besar dunia.
"Pendekatan ini diterima baik banyak pihak dan hasilnya semakin banyak negara menjalankan perdagangan dengan China," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri China, Wen Jiabao di sini, hari ini.
Selain Abdullah, seorang lagi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengadakan pertemuan dengan Jiabao.
Dr. Mahathir yang ditemui selepas majlis itu pula menganggap perjumpaannya dengan Jiabao lebih merupakan pertemuan di antara dua sahabat lama.
Menurutnya, dalam pertemuan berkenaan, mereka membincangkan isu persahabatan kerana keakraban hubungan dua hala di antara Malaysia dengan China sejak sekian lama.
Diminta mengulas persepsi Jiabao terhadap perkembangan politik di Malaysia, Dr. Mahathir berkata, Perdana Menteri China itu cuma menegaskan beliau sangat menghargai hubungan antara kedua-dua negara.
"Selain itu, kita membincangkan mengenai kerjasama antara Malaysia dan China pada masa depan, gabungan dengan ASEAN serta kepentingan kerjasama antara ASEAN," katanya.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0429&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm&arc=hive
No comments:
Post a Comment