5 April 2011
KUALA LUMPUR 5 April - Pelaksanaan sistem perundangan Islam di negara ini perlu ditransformasi ke arah lebih dinamik sebagai persediaan menghadapi cabaran dan permasalahan yang wujud pada masa kini.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, transformasi tersebut harus bermula dengan pemerkasaan peranan sultan dan raja sebagai ketua agama Islam selain jentera penggerak yang terdiri daripada agensi-agensi Islam.
''Penjenamaan semula terhadap agensi-agensi yang terlibat ini menggambarkan perubahan yang lebih bertenaga dan cekap dalam mendepani atau mengurus permasalahan semasa umat Islam.
''Selain itu, nilai-nilai kreativiti dan empati dalam menyelesaikan segala isu masyarakat Islam harus ditingkatkan supaya suara hati mereka dipenuhi,'' katanya.
Beliau berucap pada majlis perasmian Konvensyen Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam di Malaysia yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menurut Abdullah, pemerkasaan agensi-agensi Islam harus bergerak serentak dengan semangat saling bekerjasama supaya kekuatan komponen sistem perundangan Islam digembleng secara sempurna dan menyeluruh.
Katanya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan berkaitan perlu diberi penambahbaikan agar dapat menyerlahkan peranan mereka sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat.
''Institusi pendidikan yang bakal melahirkan graduan perundangan perlu menyambut gelombang transformasi ini bagi melahirkan golongan pelapis yang mempunyai kemampuan dan kredibiliti.
''Kita tidak mahu kepincangan berlaku kerana kekurangan ini yang akan menyebabkan kapasiti yang diperlukan tidak mencukupi untuk membuat lonjakan jauh,'' katanya.
Sehubungan itu, katanya, IKIM memulakan langkah dengan mewujudkan satu jawatankuasa penyelidik bagi menyediakan pelan strategik yang lengkap bagi tujuan transformasi itu.
Jawatankuasa itu akan disertai bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Peguam Negara (Seksyen Syariah), Jabatan Bantuan Guaman (JBG) selain pakar akademik, pertubuhan dan persatuan serta perunding berkaitan.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0406&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_09.htm&arc=hive
Friday, May 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment