30 December 2010
KEPALA BATAS 30 Dis. - Semua pihak diingatkan supaya menghentikan perbuatan menyentuh sensitiviti agama terutama membabitkan rumah-rumah ibadat kerana ia boleh mengundang polemik yang menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, walaupun rumah ibadat seperti masjid sepatutnya menjadi pusat kegiatan masyarakat, tidak bermakna ia boleh dilakukan dengan sesuka hati sehingga mengundang reaksi negatif.
Merujuk polemik membabitkan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang didakwa masuk ke pekarangan sebuah masjid dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik baru-baru ini, Abdullah yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, kontroversi itu sepatutnya boleh dielakkan.
''Apa juga hal-hal yang menyentuh soal agama termasuk kegiatan-kegiatan di rumah-rumah ibadat, kita perlu ada kefahaman dan bersikap ambil berat perkara-perkara yang boleh mengundang keadaan yang tidak baik.
''Kita mesti lebih sensitif dan sepatutnya tahu sama ada perbuatan itu akan mengundang reaksi-reaksi yang tidak baik atau sebaliknya, tolong berfikir dahulu sebelum membuat sesuatu," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada 328 pelajar di kawasan itu hari ini.
Turut hadir isteri beliau, Tun Jeanne Abdullah; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Hilmi Abdul Rashid dan Ketua Pemuda UMNO bahagian tersebut, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan mengenai polemik terbaru membabitkan Nie Ching yang didakwa masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, Selangor dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid tersebut.
Nie Ching dalam blognya di www.wretch.cc/blog/teonieching memberitahu, acara senamrobik tersebut adalah program pertama Karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.
Wakil rakyat DAP itu pernah mencetuskan kontroversi ekoran tindakannya masuk ke ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral untuk menyampaikan 'tazkirah' dan menyampaikan sumbangan moreh kepada surau tersebut.
Abdullah yang kesal dengan perkembangan itu berkata, apa juga aktiviti yang ingin dijalankan di kawasan masjid perlu dilakukan secara tertib bukannya secara sesuka hati.
''Jangan kita anggap ini sebagai satu kebiasaan, nak jalankan aktiviti sekali pun, fikirlah apa akan jadi dan jangan ikut suka hati kita saja. Kalau kita fikir secara mendalam mengenai apa yang kita cakap dan buat, isu-isu ini tidak akan timbul," tegasnya.
Source: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1231&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm&arc=hive
Friday, May 27, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment