KUALA LUMPUR 12 Nov. - Golongan ulama diseru memberikan penjelasan kepada masyarakat tentang sesuatu fatwa, pandangan, hukuman atau kedudukan yang dikeluarkan oleh mereka bagi mengelak kekeliruan di kalangan umat Islam.
Pengerusi Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM), Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, fenomena itu dapat dilihat semasa pewartaan atau penerbitan fatwa-fatwa yang selalunya tiada penerangan dan keputusan mahkamah syariah yang seringkali tidak disusuli dengan alasan penghakiman secara terperinci.
Memburukkan lagi keadaan katanya, orang awam ditakutkan dengan bahaya salah faham sekiranya hal-hal agama cuba diselami dengan lebih mendalam.
''Ini tidak membantu masyarakat memahami, menghargai dan menghayati agama secara lebih mendalam.
''Ulama perlu membuat penerangan apakah jenis dalil, sandaran atau kaedah yang digunakan pada setiap kali isu agama diperjelaskan kepada masyarakat,'' katanya semasa berucap merasmikan Seminar Taqlid, Ijtihad dan Talfiq; Skop, Amalan dan Batasan di Dewan Besar IKIM di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengerusi IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan dan Timbalannya, Profesor Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin.
Abdullah berkata, banyak isu dalam masyarakat hari ini menagih penjelasan daripada golongan bijak pandai agama.
''Isu-isu seperti kalimah Allah, yoga, ajaran sesat, fahaman syiah, antimazhab atau anti ahli sunnah wal jamaah adalah perkara yang memerlukan penjelasan kemas dan tegas daripada pihak berkuasa,'' jelasnya.
Tambahnya, kebanyakan rakyat hari ini yang berpendidikan dan berpelajaran tinggi sukar menerima pandangan bersifat dogmatik tanpa penjelasan yang boleh diterima akal.
''Cabaran utama selalunya datang daripada kumpulan ini yang menagih penerangan rasional kepada hampir semua perkara.
''Keadaan ini menjadi cabaran paling hebat bagi golongan ulama jika fatwa mereka tidak meyakinkan, boleh berlaku perbalahan dan perpecahan dalam masyarakat,'' katanya.
Seminar yang disertai kira-kira 300 peserta bertujuan memberi kefahaman mengenai konsep taqlid, ijtihad dan talfiq serta istilah lain berkaitan di samping meningkatkan kefahaman mengenai objektif undang-undang Islam.
Seramai 11 pembentang kertas kerja termasuk dari Indonesia dan Brunei telah diundang pada seminar yang berlangsung selama dua hari itu.
No comments:
Post a Comment