Thursday, November 12, 2009

Syariah bukan perundangan jumud

UCAPAN sulung Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sewaktu merasmikan seminar “Taklid, ijtihad dan talfiq: Skop, amalan dan batasan” di Dewan Besar IKIM, Kuala Lumpur pada 12 November.


Source: Utusan Malaysia

Segala puji milik Allah, selawat dan salam atas junjungan agung Nabi Muhammad SAW, para sahabat, para tabi’un serta pengikut jejak langkah Baginda hinggalah ke hari pembalasan.


Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya dapat bersama dalam majlis seperti ini buat julung-julung kalinya sebagai Pengerusi institut ini.

Taklid, ijtihad dan talfiq secara umumnya adalah istilah yang saling berkaitan tentang cara pengamalan syariah dengan mengikut sesuatu mazhab tertentu sama ada secara sebahagian atau keseluruhannya.

Penggunaanya membayangkan tahap keilmuan anggota masyarakat yang berbeza. Taklid lebih merujuk kepada orang awam manakala ijtihad dan talfiq lebih menjurus kepada tanggungjawab ahli-ahli perundangan Islam menggunakan pengetahuan mereka membantu masyarakat mematuhi kehendakkehendak agama.

Permasalahan dalam kalangan masyarakat awam ialah kecenderungan untuk bertaklid secara buta tuli dan tegar. Dari sudut sejarahnya, mazhab Shafie telah bertapak sejak ratusan tahun di Malaysia. Fakta ini telah dizahir dan dimaktubkan dalam hampir semua perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri di mana mazhab Shafie ditetapkan sebagai mazhab rasmi pemerintah.

Ini disusuli dengan keutamaan rujukan kepada mazhab ini yang terkandung dalam hampir semua akta atau enakmen undangundang Islam negeri.

Justeru, masyarakat secara umumnya menganggap bahawa mereka mesti mengamalkan mazhab tersebut secara ketat tanpa tolak ansur. Majoriti bukan sahaja ragu-ragu malah takut untuk menyimpang daripada ajaran mazhab berkenaan walaupun ada keperluan munasabah yang membenarkannya.

Namun begitu, dalam beberapa hal tertentu, seperti ibadat haji dan zakat, kelonggaran untuk menerima pandangan mazhab lain memang telah diperakukan dengan alasan-alasan yang cukup praktikal. Apa yang lebih menarik, di Perlis, tertulis dalam Perlembagaan Negeri bahawa ia tidak tertakluk kepada mana-mana mazhab secara khusus.

Jelas terdapat paradoks (pertentangan) dalam pengamalan ajaran Islam di Malaysia. Dari satu aspek, syariah perlu ada keseragaman dan kesatuan. Dari sudut lain, undang-undang Islam haruslah bersifat dinamik, progresif, sedia berubah mengikut suasana dan keadaan selagi mana ia tidak bertentangan dengan prinsip dan matlamat syariah.

Ternyata juga bahawa masyarakat muslim tidak dituntut mengikut ajaran mazhab secara tertutup dan jumud. Tetapi, melihat kepada realiti semasa, orang-orang Islam dinasihatkan – malah diberi amaran – supaya hanya setia bertaklid dengan satu mazhab sahaja. Selain dari kes-kes yang diketahui umum seperti haji dan zakat, orang awam ditegah daripada menukar mazhab mereka. Apabila sesuatu isu timbul, masyarakat tidak sabar lagi menunggu apa fatwa yang akan diberikan.

Suasana yang bercelaru ini harus dirungkai dan dimurnikan agar masyarakat tidak berterusan terumbang-ambing dalam kekeliruan.

Dalam situasi seperti ini, kecenderungan sebahagian ulama pula (seperti fuqaha, mufti dan hakim) ialah untuk memberikan pandangan, fatwa, hukuman atau kedudukan sesuatu perkara tanpa menjelaskan dalil, sandaran atau kaedah bagaimana sesuatu keputusan itu dicapai.

Fenomena ini boleh dilihat contohnya, melalui pewartaan dan penerbitan fatwa-fatwa yang selalunya tanpa penerangan; dan juga keputusan-keputusan Mahkamah Syariah yang seringkali tidak disusuli dengan penghakiman bertulis menjelaskan alasan-alasan atau rasional penghakiman secara terperinci.

Memburukkan keadaan, tahap pemikiran orang awam, sama ada secara langsung atau sebaliknya, direndah-rendahkan secara tidak wajar. Mereka ditakutkan dengan bahaya salah faham sekiranya hal-hal agama cuba diselami dengan lebih mendalam. Justeru, mereka hanya perlu bertaklid, iaitu patuh dan ikut pandangan orang-orang yang diberi kuasa keagamaan baik secara politik mahupun pentadbiran.

Ini tidak membantu masyarakat memahami, menghargai dan menghayati agama.

Sesetengah pimpinan agama menakutkan golongan awam ini bahawa mereka tiada pilihan selain bertaklid; bahawa taklid itu adalah sesuatu yang natural buat mereka; bahawa itulah kedudukan mereka selama-lamanya; bahawa mereka tidak perlu kepada alternatif lain; bahawa mereka tiada peranan untuk terlibat dalam proses ijtihad.

Mentaliti taklid paksaan inilah yang merata dalam pemikiran masyarakat muslim terdahulu dan berterusan ke hari ini. Belenggu mental inilah yang menghentikan amalan ijtihad. Lama-kelamaan kaum muslimin beranggapan bahawa pintu ijtihad telah ditutup. Malah ia seolah-olah menjadi salah satu “Rukun Iman” mereka bahawa kepercayaan ini sebenarnya suatu tuntutan keagamaan.

Penerimaan meluas mentaliti taklid ini membantutkan kemampuan daya fikir orang-orang Islam dan membataskan kemampuan mereka pula dalam mentadbir urusan keduniaan. Untuk keluar dari jurang ini, umat Islam mesti menguasai ilmu pengetahuan yang luas.

Majoriti anggota masyarakat memang bukan pakar dalam hal-hal syariah dan agama. Mereka boleh dikategorikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama terdiri daripada mereka yang tidak berpelajaran secara formal. Kumpulan kedua terdiri dari kelompok yang berpendidikan dan berpelajaran tinggi.

Mereka adalah para professional yang memegang posisi penting dalam struktur sosio-budaya masyarakat. Mereka mempunyai suatu tahap pemikiran tertentu yang membolehkan mereka menganalisis, membanding dan menyaring maklumat dalam pembentukan pegangan dan world view mereka.

Dalam kehidupan beragama, cabaran utama datang dari kumpulan kedua ini. Mereka adalah golongan yang menagih penerangan rasional kepada hampir semua perkara. Mereka sukar menerima pandangan yang bersifat indoktrinasi atau dogmatik tanpa penjelasan yang boleh diterima akal.

Dalam mengutarakan persoalan taklid, ijtihad dan talfiq ini, penekanan seminar ini ialah kepada peranan golongan orang awam atau bukan pakar yang dimaksudkan. Mereka mungkin tidak faham malah kelihatan mempersoalkan hal-hal keagamaan, tetapi tidak boleh disisihkan. Mereka adalah anggota masyarakat Islam. Mereka juga mempunyai tugasan dan peranan yang harus dilaksanakan ke arah pemantapan agama secara keseluruhannya.

Keadaan ini yang menjadi cabaran paling hebat bagi golongan ulama. Jika fatwa mereka tidak meyakinkan, perbalahan dan perpecahan dalam masyarakat boleh berlaku. Pendekatan yang perlu diambil ialah menerima ijtihad sebagai kaedah untuk mencari penyelesaian dan keputusan bagi masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam.

Banyak isu dalam masyarakat yang menagih penjelasan dari golongan bijak pandai agama. Golongan awam dan bukan agama dari kalangan umat Islam pula harus diberi kefahaman, bukan sahaja untuk diri mereka, malah untuk orang-orang lain yang berada di sekeliling mereka, termasuklah orang-orang bukan Islam.

Isu kalimah Allah, yoga, pelbagai aliran ajaran sesat, faham syiah, wahdatul wujud, wahdatul syuhud, antimazhab, anti Ahli Sunah Wal Jamaah, adalah sekadar beberapa perkara yang memerlukan penjelasan kemas dan tegas dari pihak penguasa.

Soal tidak semua anggota masyarakat akan berusaha mendapatkan penjelasan tidak berbangkit. Apa yang lebih utama ialah penyediaan bahan-bahan rujukan yang memadai dan dapat dirujuk dengan mudah apabila keperluan timbul.

Seminar ini berhasrat memberikan kefahaman tentang senario ini. Ia harus dimulakan dengan menerangkan latar belakang konsep taklid, ijitihad dan talfiq serta lain-lain istilah berkaitan dan kedudukan mereka dalam Islam. Ke arah itu, ia harus menoleh ke belakang melihat sejarah undang-undang Islam bagaimana idea ini berkembang dalam pengalaman masyarakat Islam terdahulu dan tindakan ulama menanganinya.

Seminar ini akan melihat ruang lingkup talfiq dan faktor-faktor yang mendorong kemunculan dan penggunaannya. Ia akan menganalisis pandangan ulama tentang keadaan-keadaan yang menolak dan mengharuskan pengamalan talfiq. Ia juga akan meningkatkan kefahaman tentang objektif undang-undang Islam dan menegaskan bahawa syariah sesuai untuk semua keadaan, tempat dan zaman.

Kita perlu mengakui bahawa syariah bukan suatu perundangan Islam yang jumud. Syariah mesti terus berkembang dan berkemampuan untuk menentukan hukum-hukum yang berkaitan dengan kehidupan ummah dalam semua bidang.

Kewibawaan undang-undang syariah akan bergantung kepada integriti dan kemampuan ijtihad. Masyarakat Islam sekarang perlu memberi iktiraf kepada ijtihad semasa – ijtihad hadhari yang boleh membawa kemajuan dan perubahan (alislah wal tajdid) kepada umat Islam sekarang dan yang akan datang. Para ulama perlu bersedia menghadapi cabaran baru. Fahaman Islam perlu ditingkat dan diperluaskan dari peringkat sekolah hingga pengajian tinggi. Ia memerlukan perubahan kepada kurikulum pengajian Islam.

IKIM berusaha mendapatkan pembentang-pembentang yang terbaik dari dalam dan luar negara. Bagaimanapun, terdapat beberapa perkara luar jangka di saat-saat akhir menyebabkan beberapa penceramah asal tidak dapat menghadirkan diri. Ini tidaklah menjejaskan objektif seminar kerana saya yakin tokoh-tokoh yang ada bersama kita sepanjang dua hari ini tidak kurang hebat tahap keilmuannya.

Akhirnya, dengan lafaz mulia Bismillahi rahmani rahim, saya dengan ini merasmikan seminar “Taklid, ijtihad dan talfiq: Skop, amalan dan batasan."

No comments: