Thursday, January 7, 2010

Perginya seorang negarawan

ARKIB Utusan Malaysia : 02/01/2010


Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan Tan Sri Mohamed Rahmat sebagai tokoh yang banyak berjasa kepada negara.

Justeru katanya, pemergian negarawan itu merupakan sesuatu yang mendukacitakan buat negara serta beliau sendiri secara peribadi.

''Sudah tentu pemergiannya mendukacitakan seluruh ahli parti (UMNO) yang memahami dan mengikuti perjuangan beliau.

''Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau," katanya selepas menziarahi jenazah Allahyarham di Bukit Damansara dekat sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Dalam pada itu Ahmad Zahid memberitahu, beliau amat menghormati Allahyarham yang disifatkan sebagai 'sifu' beliau dalam bidang politik.

''Selain itu, saya juga berasa amat rapat dengan beliau kerana kami berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu pada 4 Januari dan tarikh ulang tahun perkahwinan kami juga serupa iaitu pada 26 Mac.

Ahmad pula berkata, Allahyarham merupakan seorang tokoh negara yang menyemai semangat patriotik rakyat terhadap tanah air.

'Saya masih ingat semasa Allahyarham menjadi Menteri Penerangan, beliau memperkenalkan Program Semarak (Setia Bersama Rakyat) yang bertujuan meningkatkan semangat cintakan negara," ujarnya.

Mohd. Shafie berpendapat, Allahyarham merupakan seorang pemimpin berkaliber serta mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

'Semasa saya berkhidmat sebagai timbalannya selama lima tahun, saya dapati Allahyarham bukan sahaja seorang ketua, malah seorang pembimbing, pendidik dan rakan yang amat pemurah.

''Dari perspektif kenegaraan pula, beliau merupakan tokoh yang berjaya menyelesaikan krisis dalaman UMNO sewaktu era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu," jelasnya.

Sementara itu, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, pemergian Allahyarham bermakna beliau telah kehilangan seorang sahabat yang kreatif dan inovatif dalam membangunkan negara.

Katanya, sepanjang menjadi Menteri Penerangan, Allahyarham memperkenalkan beberapa dasar yang memberi manfaat untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.

''Allahyarham ialah individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Kumpulan Pembaca, Pendengar dan Penonton (K3P) bagi menggalakkan rakyat menambah pengetahuan melalui pembacaan akhbar, radio dan menonton televisyen,'' katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

No comments: